Tun Musa memotong kek hari jadi, diiringi Toh Puan Faridah, Hajiji dan kenamaan lain di Padang Merdeka.
KOTA KINABALU: Sabah menyambut Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dengan perbarisan melibatkan 80 kontinjen di Padang Merdeka di sini hari ini.
Tun Musa yang ditemani isteri, Toh Puan Faridah Tussin menghadiri perbarisan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi pertamanya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dan disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag sejurus tiba di Padang Merdeka.
Turut menyambut ketibaan beliau ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan para kenamaan lain.

Tun Musa diiringi Hajiji sejurus tiba di Padang Merdeka.
Majlis dimulakan dengan Tun Musa memeriksa kawalan kehormatan utama diiringi 17 das tembakan meriam dari Bukit Bendera.
Beliau kemudiannya menaiki kenderaan istiadat untuk memeriksa 80 kontinjen yang mengambil bahagian di padang.
Majlis turut dimeriahkan dengan acara memotong kek sempena ulang tahun kelahiran rasmi beliau, yang berlangsung semasa persembahan tarian anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
Perbarisan kemudiannya ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri di Istana Seri Kinabalu.































