PASIR PUTEH: Seorang lelaki parah ditetak sekumpulan individu yang memakai pelitup muka dengan bersenjatakan parang dalam kejadian di Kampung Baru Nelayan, Tok Bali di sini, Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 11.35 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun cedera di bahagian lutut kiri dan buku lali kaki kanannya.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berada di depan rumah rakan kepada salah seorang suspek.
Menurutnya, lelaki itu kemudian didatangi beberapa individu yang memakai pelitup muka sebelum tiba-tiba menyerangnya.
“Mangsa ditetak beberapa kali di bahagian lutut kiri dan buku lali kaki kanannya sehingga mengalami kecederaan parah. Lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian ekoran kecederaan serius,” katanya hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, lima lelaki sudah ditahan dan polis sedang giat mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu.






























