Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dibentangkan secara rasmi di Parlimen pada 28 Julai depan.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, draf itu bagaimanapun telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
“Menteri-menteri telah menerima rangkuman, ringkasan daripada draf tersebut dan ia akan dibentang pada sidang Parlimen Julai ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta supaya setiap kementerian meneliti draf yang telah dibentangkan dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat sebelum ia dimuktamadkan bagi persiapan pembentangan di Parlimen kelak,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata RMK13 2026–2030 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan menyifatkan kejayaan menyiapkan sebuah kapal tempur pesisir (LCS) daripada lima yang dirancang membuktkan kemampuan sebenar jurutera serta tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, Perdana Menteri menyatakan kepuasan terhadap perkembangan pembinaan kapal tersebut ketika lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Ahad lalu.
“Semasa berada di Lumut, Perdana Menteri turut menyaksikan kapal LCS yang telah siap, dan memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau berpuas hati dengan kejayaan menyiapkan sebuah daripada lima kapal yang dirancang.
“Kapal kedua dijangka siap pada penghujung tahun 2025, manakala kapal ketiga pula dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya.
Projek LCS bernilai RM9 bilion sebelum ini menjadi perhatian berikutan kelewatan berpanjangan dan isu pengurusan tidak telus, sehingga mencetuskan siasatan oleh Parlimen serta pelbagai agensi penguat kuasa.





























