Pekerja Mz Gold Sdn. Bhd melayan pelanggan yang berkunjung ke premis mereka untuk melihat barang kemas di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Kenaikan harga emas sejak Khamis lalu mendorong golongan wanita di negeri ini untuk menjual barangan kemas milik untuk dijadikan sebagai modal mengukuhkan perniagaan mereka.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan mendapati, bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terpaksa mencairkan aset mereka itu untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Seorang individu yang mahu dikenali sebagai Lah, 45, berkata, dia mengambil kesempatan menjual barangan kemas milik isterinya untuk dijadikan sebagai modal bagi membesarkan ternakan lembu yang sedang diusahakan.
“Insya-Allah sebaik sahaja memperoleh keuntungan, saya gantikan balik barangan kemas isteri. Lagipun isteri sudah memahami perkara tersebut. Inilah kelebihan menyimpan emas,” katanya.
Bagi Ani Abdullah, 50, pula, dia memilih menjual dan menggantikan koleksi barang kemas miliknya itu dengan yang baharu.
Katanya, kenaikan emas ketika ini membolehkan dia membeli koleksi baharu walaupun terpaksa menambah sedikit wang.
“Walaupun terpaksa berbuat demikian, namun saya puas hati kerana dapat membeli koleksi baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Sumber Manusia MZ Gold Sdn. Bhd., Nur Akmal Ahmad Tajuddin memberitahu, rata-rata pelanggan mengambil kesempatan untuk menjual barang kemas milik mereka susulan harga yang semakin naik ketika ini.
Katanya, perang Israel dengan Iran ketika ini menyumbang kepada kenaikan harga emas dunia.
“Harga emas hari ini RM447 untuk satu gram. Biasanya harga tinggi, pembelian akan berkurangan. Sebaliknya, pemilik mengambil kesempatan untuk menjual emas mereka atau menukar dengan barangan kemas yang baharu,” ujarnya.
Nur Akmal berkata, belian emas naik mendadak menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha lalu.


































