PETALING JAYA: Polis meminta wanita yang memuat naik video perbualan dengan anggota polis yang didakwa mengaibkan supaya tampil bagi membantu siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, Ketua Polis Balai Pandan Indah sebelum itu mengesan satu hantaran video yang tular di media sosial.
Katanya, ia memaparkan perbualan seorang anggota polis dan seorang wanita bangsa tidak pasti berdurasi satu minit 30 saat di Instagram yang berbaur mengaibkan kesantunan wanita terbabit pada 5 petang semalam.
“Video itu dimuat oleh seorang wanita di laman sosial Tiktoknya yang dikenali sebagai shaamajinbuu dan tular ke laman sosial Instagram.
“Oleh itu, pihak polis menyeru agar individu yang terbabit tampil untuk membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 atau dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Hida Hayati bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular video perbualan membabitkan anggota polis mengajak penunggang motosikal yang mengajak wanita itu ke hotel.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap anggota yang dikenal pasti dengan mengeluarkan daripada penugasan sedia ada.
“Anggota tersebut telah dikenal pasti dan siasatan selari tatatertib juga sedang diambil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.






























