Hajiji bergambar bersama pemimpin GRS dan Gagasan Rakyat, para perwakilan dan ahli-ahli parti yang menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman Tahun 2025.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan spekulasi mengenai perkara itu yang dijangka pada hujung Julai atau awal Ogos depan.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan akan membuat pengumunan mengenai
perkara itu selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir Julai nanti.
“Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung bulan Julai,” kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat
Sulaman diminta mengulas mengenai kemungkinan DUN dibubarkan pada akhir Julai depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sementara itu, Hajiji menegaskan gabungan parti pemerintah pimpinannya itu bersedia menghadapi sesiapa saja pada PRN17 nanti.
Katanya, ia adalah pendirian GRS, namun sebarang keputusan mengenai bentuk
kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya mesti diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan parti tempatan itu.
“GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya umum akan datang.
“Jadi itu pendirian kita tetapi apapun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pendapat Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang bersetuju GRS bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN17.
“Saya sokong pendapat beliau, tetapi apapun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.
“Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat,” katanya.
Semalam, Armizan berkata, beliau secara peribadi bersetuju dengan Ketua UMNO
Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk membiarkan GRS dan BN bertembung pada pilihan raya itu nanti.
Sementara itu, Hajiji berkata, Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Jadi, ingatan dan nasihat saya kepada ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS supaya
mereka bersatu hati. Rapatkan barisan, kuatkan jentera parti untuk kita menghadapi pilihan raya yang tidak berapa lama lagi,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Hajiji mengingatkan pemimpin dan ahli
Gagasan Rakyat atau GRS supaya mengambil iktibar keadaan politik semasa dan menangkis pembohongan disebarkan pembangkang melalui media sosial.
“Kita mesti pandai menilai apa fitnah dan pembohongan serta apa yang dibuat Kerajaan.
“Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang dibawa
pembangkang.
“Biarlah pembangkang melakukan fitnah, tapi kita ahli Gagasan Rakyat mesti berdiri bersama-sama rakan kita dalam GRS Plus, khususnya di Sulaman ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai kedudukan GRS pada PRN17 nanti, khususnya berkaitan rakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya itu.
“Banyak tanya saya macam mana keadaan, siapa kawan kita, di mana kita bertanding.
“Walaupun belum ada lagi keputusan muktamad kerana saya akan bincang dengan komponen GRS, tapi kita sekarang lebih selesa seperti dalam Kerajaan sekarang iaitu GRS-PH Plus.
“Inilah sentimen rakyat di bawah sekarang, rakyat kita mahu ini sekarang. Banyak parti lain cakap takbur, cakap besar di luar, tapi saya bawa ini dalam GRS. Saya tidak buat keputusan berseorangan, ini prinsip saya. Biarlah ia dibuat oleh AMT GRS ke mana arah kita pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang disandangnya sejak
1990, beliau yakin kerusi itu dapat terus dipertahankan di bawah GRS pada PRN17.
Beliau juga mahu tiga kerusi lain dalam Parlimen Tuaran, iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu juga kekal dipertahankan di bawah GRS.


































