MUMBAI: Punca nahas pesawat Air India AI171 yang meragut lebih 265 nyawa pada petang Khamis belum dikenal pasti walaupun maklumat awal menunjukkan pesawat mengalami masalah sejurus berlepas, termasuk dentuman kuat yang didengar oleh satu-satunya mangsa terselamat.
Menurut Utusan Malaysia, tragedi itu mencatat sejarah hitam sebagai insiden pertama melibatkan nahas maut pesawat Boeing 787-8 Dreamliner sejak ia mula digunakan dalam penerbangan komersial pada 2011.
Pesawat yang membawa 242 penumpang itu dikendalikan oleh juruterbang, Kapten Sumeet Sabharwal bersama pembantunya, Clive Kundar.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri India, Amit Shah berkata, pesawat tersebut membawa 100 tan bahan api, hampir muatan penuh, ketika ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad.
Hanya beberapa saat berlepas, kokpit pesawat mengeluarkan panggilan kecemasan (mayday) dan tiada komunikasi lanjut diterima selepas itu, menurut pihak pengawal selia penerbangan India.
Satu-satunya mangsa yang terselamat memberitahu media India dia mendengar dentuman kuat ketika pesawat sedang berusaha untuk menaikkan ketinggian.
Rakaman video yang disahkan oleh BBC Verify menunjukkan pesawat terbang rendah di atas kawasan perumahan.
Data terakhir yang dihantar menunjukkan pesawat terbabit mencapai ketinggian 190 meter sebelum menurun dan hilang daripada pandangan disebabkan pokok dan bangunan, diikuti letupan besar tidak lama kemudian.
Rakaman CCTV juga menunjukkan pesawat hanya berada di udara selama 30 saat sebelum terhempas.
TIGA KEMUNGKINAN PUNCA NAHAS
Pakar penerbangan tempatan dan antarabangsa kini meneliti beberapa kemungkinan, termasuk kegagalan teknikal dan faktor luaran yang berpotensi menjadi punca utama tragedi.
Kemungkinan kegagalan enjin dibangkitkan beberapa pakar, meskipun kejadian demikian dikatakan amat jarang berlaku.
Terdapat juga persoalan sama ada pesawat mengaktifkan Ram Air Turbine (RAT), turbin kecemasan yang berfungsi apabila enjin utama gagal menjana kuasa bagi sistem penting pesawat.
Seorang juruterbang kanan memberitahu BBC bahawa kegagalan dua enjin juga boleh berpunca daripada pencemaran atau saluran bahan api yang tersumbat.
Enjin pesawat bergantung kepada sistem pemeteran bahan api yang tepat, jika sistem itu disekat, ia boleh menyebabkan kekurangan bahan api serta kerosakan enjin.
Pengeluar enjin pesawat, GE Aerospace mengumumkan akan menghantar pasukan ke India untuk membantu siasatan, manakala Boeing menyatakan komitmen menyokong pihak syarikat penerbangan terlibat.
Selain itu, beberapa pakar di India turut membangkitkan kemungkinan pesawat mengalami pelanggaran burung, apatah lagi Lapangan Terbang Ahmedabad di negeri Gujarat dikenali sebagai kawasan berisiko tinggi dengan kehadiran haiwan tersebut.
Menurut data Kementerian Penerbangan Awam India yang dibentangkan di Parlimen pada Disember 2023, negeri Gujarat merekodkan 462 insiden pelanggaran burung dalam tempoh lima tahun, dengan kebanyakan berlaku di Lapangan Terbang Ahmedabad.
Sementara itu, tiga pakar yang ditemubual BBC mencadangkan nahas mungkin berlaku kerana flap pesawat tidak dipanjangkan semasa berlepas, namun pandangan itu dipertikai oleh beberapa juruterbang dan penganalisis lain.
Flap memainkan peranan penting semasa berlepas, kerana ia membantu pesawat menjana daya angkat maksimum walaupun pada kelajuan rendah.
Jika ia tidak dikeluarkan dengan betul, pesawat yang sarat penumpang, membawa muat penuh bahan api untuk penerbangan jarak jauh serta berdepan cuaca panas, akan mengalami kesukaran berlepas dari landasan.
PANGGILAN TERAKHIR
Nahas itu bukan hanya mengorbankan 241 penumpang, bahkan puluhan penduduk di kawasan perumahan, menyebabkan sekurang-kurangnya 265 disahkan maut setakat ini.
Suasana pilu menyelubungi sebuah dewan di Ahmedabad, pada awal pagi Jumaat apabila keluarga mangsa nahas hadir untuk memberikan sampel DNA, dalam usaha mengenal pasti mangsa yang terkorban.
Ashfaque Nanabawa, 40, antara yang hadir untuk mencari sepupunya, Akeel Nanabawa, yang menaiki pesawat bersama isteri dan anak perempuan mereka berusia tiga tahun.
“Sebelum berlepas, dia hubungi kami dan memaklumkan sudah naik pesawat dan semuanya okey. Itu panggilan terakhir daripadanya,” kata Ashfaque dalam nada sebak.
Di satu sudut kawasan yang dikhaskan, kelihatan lebih 12 doktor yang keletihan masih terus mengambil sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa.
“Sebagai doktor, kami selalu bersedia untuk sebarang kemungkinan… tetapi ini terlalu berat.
“Ahli keluarga datang dengan linangan air mata, mencari jawapan. Kami cuba bantu tetapi kesedihan mereka terlalu mendalam,” kata seorang pegawai perubatan yang enggan dikenali.
Menurut Air India, 242 individu berada dalam pesawat ke Gatwick, London itu, terdiri 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh Portugal dan seorang rakyat Kanada serta 12 anak kapal.
Hanya seorang penumpang warga Britain yang disahkan terselamat.


































