MELAKA: Seorang wanita yang juga guru bersama anak sulungnya dipercayai dibunuh apabila ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai di sini, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang lagi anak lelaki mangsa turut ditemukan dalam keadaan parah di hadapan rumah berkenaan.
Menurut sumber, kejadian disedari orang awam yang terlihat seorang lelaki terbaring berlumuran darah atas jalan di hadapan rumah, sebelum bertindak menghubungi polis.
“Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Batang Tiga yang tiba di lokasi kemudian menemui lelaki tersebut dalam keadaan cedera parah.
“Pemeriksaan lanjut dalam rumah menemukan dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dan anak perempuannya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah,” katanya.
Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk kemungkinan kes melibatkan kejadian bunuh.
Identiti mangsa belum didedahkan dan mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.