Azizah melawat gerai pameran usahawan wanita darpada Sandakan.
SANDAKAN: Usahawan wanita muda bukan sekadar membangunkan perniagaan tetapi juga mencipta impak sosial yang lebih besar.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, usahawan wanita muda termasuk di Sandakan perlu menggambil peluang dalam era digital ini untuk mengembangkan perniagaan melalui platform e-dagang dan pemasaran melalui media sosial.
Beliau yakin melalui sokongan Kerajaan dan persekitaran ekonomi yang kondusif, lebih ramai wanita muda akan berjaya dan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.
Katanya, sebagai contoh inspirasi ini boleh mengambil pelajaran daripada ramai usahawan tempatan yang berjaya membawa produk Sandakan ke peringkat global, termasuk dalam sektor pemprosesan makanan dan kraftangan.
“Usaha gigih dan ketekunan adalah kunci kepada kejayaan, seperti yang telah dibuktikan oleh ramai usahawan yang bermula dari peringkat kecil sehingga mencapai kejayaan besar.
“Melalui Pinjaman DAYANG ini, saya yakin ramai usahawan wanita muda dari daerah Sandakan yang akan berjaya mendapatkannya dan seterusnya menggunakan pinjaman ini sebaik-baiknya untuk memula, mengembang dan memajukan perniagaan mereka,” katanya semasa merasmikan Program Memperkasakan Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi di Dewan Sri Libaran, di sini, hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Dr. Rem Dambul, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kinson, Senator Anna Bell Perian dan peserta program.
Kira-kira 600 orang terdiri usahawan muda menyertai program tersebut. Program merupakan anjuran IDS, SCC dengan kerjasama MPS dan 25 pameran gerai usahawan wanita dari Sandakan.
Azizah berkata, data usahawan wanita yang diperolehi menunjukkan terdapat seramai 9,421 orang usahawan wanita Sabah (yang menerima latihan daripada MARA pada tahun 2022).
Beliau berharap agar sebahagian dari usahawan wanita yang termasuk dalam data-data ini boleh dibantu dalam memajukan perniagaan mereka melalui pinjaman DAYANG.
“Pakej Pinjaman dibawah Program Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri melalui Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) khas untuk wanita muda adalah satu langkah inovatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan wanita secara khusus,” jelasnya.
Azizah berkata, Pinjaman DAYANG merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang secara berterusan dan konsisten mencari jalan membantu rakyat Sabah yang memerlukan. Di bawah kepimpinan beliau, banyak bantuan yang telah dilaksanakan.
“Rakyat harus bersyukur dan berbangga mempunyai seorang Ketua Menteri yang sangat prihatin dalam membantu rakyat Sabah dalam banyak perkara,” katanya.

































