MUAR: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar tembok batu dan tiang lampu sebelum tercampak ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Parit Unas, Jalan Temenggung Ahmad, di sini awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian itu pada pukul 7.35 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila motosikal yang ditunggang Muhammad Aidil Rahman, 21, dari arah bandar Muar menghala ke Parit Jawa.
“Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kerja hilang kawalan lalu melanggar tembok batu dan tiang lampu yang berada di kiri bahu jalan.
“Mangsa tercampak terkena papan tanda nama jalan sebelum masuk ke dalam parit berhampiran bahu jalan. Akibatnya, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan kelmarin.


































