Muhammed Hasbullah Ali
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas bagi menangani kes penipuan membabitkan urusan ibadah tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pasukan ini diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Lembaga Tabung Haji untuk menyelaras aduan, siasatan serta dokumentasi mangsa secara terancang dan efisien.
Katanya, pasukan itu bertindak sebagai barisan hadapan dalam membendung penipuan pakej haji dan melindungi kepentingan bakal jemaah.
“Penubuhan pasukan ini juga selaras dengan bidang kuasa setiap agensi yang terlibat dalam usaha menangani isu jemaah haji yang terkandas.
“Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas ini telah diaktifkan bermula 30 Mei lalu bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Katanya, seorang lelaki mengalami kerugian RM71,000 selepas diperdaya merupakan mangsa baharu sindiket penipuan pakej haji palsu sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bakal jemaah haji.
Beliau menjelaskan sindiket menggunakan taktik menawarkan pakej haji dengan harga terlalu murah untuk menarik perhatian golongan berpendapatan rendah.
“Malangnya, apabila tiba musim haji, jemaah dibiarkan terkandas tanpa visa dan penerbangan, sekali gus menyebabkan mereka kerugian besar,” katanya.


































