PUTRAJAYA: Perniagaan makanan dan minuman yang menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tidak perlu memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB), kata Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.
Beliau menjelaskan, ketetapan itu adalah selaras dengan peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, dan hanya penggunaan melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa yang memerlukan permit berkenaan.
“Sebagai contoh, penggunaan tiga tong LPG bersubsidi bersaiz 14 kilogram pada satu masa tidak tertakluk kepada keperluan memiliki PBKB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan OPS GASAK oleh KPDN yang bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 memberi fokus kepada penguatkuasaan ketirisan subsidi LPG yang melibatkan dua komponen utama.
“Pertama, membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram ‘decanting’ iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk tujuan jualan komersial dan penyeludupan,” katanya.
“Kedua, mengekang penggunaan LPG bersubsidi oleh industri berskala sederhana dan besar yang tidak layak.”
Beliau berkata, antara punca kuasa utama dalam pelaksanaan operasi ini adalah berasaskan kepada Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pemeriksaan penguat kuasa KPDN di premis-premis makanan dan minuman ketika ini masih berada pada peringkat advokasi.
“Pemeriksaan bertujuan memberi penerangan dan membuat semakan pematuhan terhadap peraturan sedia ada. Dalam tempoh OPS GASAK ini, tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga makanan dan minuman yang belum memiliki PBKB,” katanya.
Azman turut menasihati mana-mana perniagaan yang menggunakan LPG melebihi had 42 kilogram pada satu masa supaya segera membuat permohonan PBKB.
“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0. Pihak berkaitan juga boleh merujuk KPDN negeri dan cawangan berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.
Dalam masa yang sama, KPDN membenarkan pembekal LPG meneruskan pembekalan tong bersubsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk peniaga makanan dan minuman walaupun mereka belum mempunyai PBKB.
“Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka tidak terjejas sementara mereka menyesuaikan diri dengan keperluan baharu,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pelaksanaan OPS GASAK dan keperluan permit boleh dikemukakan melalui WhatsApp ke nombor 019-641 6768.
OPS GASAK merupakan sebahagian daripada strategi KPDN untuk memperkukuh kawalan terhadap penyalahgunaan subsidi LPG yang boleh menjejaskan hak pengguna layak dan mengganggu pasaran.
































