Anwar, diiringi Hajiji, melakukan gimik pelancaran.
KOTA KINABALU: Projek tiga fasa Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion dijangka mencetuskan pelbagai kesan limpahan yang melangkaui teknologi hijau, merangsang inovasi serta memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di seluruh Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sahaja di Sipitang tetapi di seluruh negeri secara amnya.
“Berhubung isu pekerjaan, saya ingin menegaskan kepentingan untuk mengutamakan anak-anak Sabah. Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan serta mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan.

Anwar dan Hajiji bergambar kenangan bersama para hadirin majlis pelancaran.
“Usaha bersama ini penting untuk memastikan tenaga kerja tempatan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri,” katanya pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan majlis tersebut.
“Seperti yang kita sedia maklum, taman-taman perindustrian sedia ada seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah mencatat peningkatan penghunian dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini,” kata Hajiji.

Anwar dan Hajiji bersama barisan kepimpinan tertinggi Esteel.
“Disebabkan permintaan tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat bagi projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru,” tambahnya.
Hajiji berkata, perkembangan ini amat baik untuk Sabah ketika negeri ini terus melangkah ke hadapan dalam usaha meneroka potensi baharu ke arah merealisasikan potensi penuh negeri.
“Saya telah menegaskan bahawa Sabah akan sentiasa bersifat mesra pelabur dan kita telah melaksanakan dasar-dasar untuk menarik lebih ramai pelabur ke sini. Kita komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, menyuburkan pelaburan dan menggalakkan kerjasama.
“Kita faham kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang,” katanya.

































