HELSINKI: Lima disahkan maut selepas dua helikopter bertembung di kawasan hutan di barat daya Finland berhampiran Lapangan Terbang Eura, menurut polis pada Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, polis memaklumkan bahawa perlanggaran di udara itu berlaku berhampiran bandar kecil Kauttua dengan serpihan bangkai helikopter ditemukan kira-kira 700 meter dari jalan Ohikulkutie.
“Lima orang terkorban dalam kemalangan helikopter berhampiran Lapangan Terbang Eura pada Sabtu,” kata Ketua Penyiasat Detektif, Johannes Siirilä dari Biro Penyiasatan Kebangsaan Finland.
Menurut pelan penerbangan, terdapat dua orang dalam sebuah helikopter dan tiga orang lagi dalam helikopter kedua, kata polis sambil menambah bahawa kedua-dua helikopter tersebut didaftarkan di luar Finland.
Satu helikopter didaftarkan di Estonia, manakala satu lagi di Austria, menurut laporan Penyiaran Awam Estonia yang memetik akhbar Finland, Helsingin Sanomat.
Kedua-dua helikopter dimiliki oleh syarikat Estonia iaitu satu milik NOBE dan satu lagi milik Eleon.
Menurut Kelab Penerbangan Pori yang dipetik oleh Yle News, kedua-dua helikopter itu dipercayai sedang dalam perjalanan ke satu acara penerbangan rekreasi.
Siasatan diketuai Biro Penyiasatan Kebangsaan bersama polis tempatan dengan kerjasama pihak berkuasa Finland dan Estonia sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
































