NEW YORK: Dua maut manakala 17 yang lain cedera selepas sebuah kapal latihan Tentera Laut Mexico merempuh Jambatan Brookly di New York City.
Menurut Utusan Malaysia, Datuk Bandar New York, Eric Adams memaklumkan, kapal Tentera Laut Mexico, Cuauhtemoc, kehilangan kuasa sebelum merempuh Jambatan Brooklyn pada malam Sabtu.
“Setakat ini, daripada 277 orang di atas kapal, 19 mengalami kecederaan, dua daripadanya masih kritikal, dan dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam hantaran di X, semalam.
Menurut beberapa laporan media Amerika Syarikat (AS), terdapat kelasi berada di atas tiang kapal ketika ia melanggar jambatan.
Namun, tentera laut menjelaskan tiada mangsa yang terjatuh ke dalam air dan tiada operasi menyelamat dilancarkan.
Menurut AFP, kapal tersebut cuba melalui bawah jambatan, namun tiangnya tersangkut dan patah sebelum jatuh ke dalam Sungai Timur.
Kapal barque yang dibina pada 1982 itu mempunyai ketinggian tiang mencecah 48.2 meter.
Sementara itu, Tentera Laut Mexico dalam kenyataan berasingan berkata, kapal Cuauhtemoc sedang menjalani latihan pelayaran ketika kejadian dan mengalami kerosakan akibat kemalangan tersebut.
“Kementerian Tentera Laut menegaskan komitmen terhadap keselamatan anggota, ketelusan dalam operasi serta kecemerlangan dalam latihan pegawai Tentera Laut Mexico,” menurut kenyataan itu.
































