Halizah (tengah, duduk) bersama ahli jawatankuasa Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Likas.
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial yang bersifat menghasut dan memutarbelit fakta demi kepentingan politik pihak tertentu.
Ketua Wanita Partu Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Halizah Din menegaskan bahawa media sosial sering disalahgunakan oleh segelintir pihak pembangkang untuk membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Media sosial ada kebaikan, namun ada keburukannya kerana ada pihak yang suka jadikan platform ini sebagai wadah mereka ‘membentuk’ acuan pemikiran rakyat supaya negatif kepada usaha Kerajaan Negeri masa ini,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Wanita Gagasan Rakyat Likas, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya berfikiran matang dan terbuka dalam menilai setiap maklumat yang dikongsi secara dalam talian.
“Kita mesti berfikiran terbuka, matang dan menilai dengan bijak tentang sesuatu isu atau idea yang dibangkitkan dalam media sosial, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa perjuangan politik pentingkan diri pihak sana,” tegasnya.
Menurut Halizah, kestabilan dan kemajuan yang dikecapi Sabah pada masa ini adalah hasil kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri, justeru tidak wajar usaha tersebut dipesongkan dengan sentimen negatif yang tidak berasas.
Katanya, jentera wanita parti akan terus memainkan peranan sebagai barisan hadapan dalam memperbetul naratif dan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, khususnya dalam kalangan komuniti setempat.
































