Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kilang pembuatan dan pemasangan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di Sandakan dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun 2028, kata Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Beliau berkata, pelaburan oleh Maxland Auto Sdn Bhd dengan nilai RM357.5 juta itu berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Sandakan dan kawasan sekitarnya, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih seimbang.
“Status semasa menunjukkan projek ini masih di peringkat awal. Syarikat sedang memuktamadkan pelan perniagaan mereka dan pelan konsep kilang telah siap. Keperluan utiliti seperti elektrik dan air juga dalam proses dimuktamadkan,” katanya.
Phoong berkata, kementeriannya bersama agensi berkaitan akan terus memainkan peranan aktif dalam menyelaras dan memudahcara pelaksanaan pelaburan ini.
Sebagai komitmen awal, beliau bersama agensi terlibat telah melawat tapak cadangan pada 15 Februari 2025 bagi meneliti perancangan projek dan menyelaras langkah pelaksanaan.
“Hasil perbincangan semasa lawatan itu, pembinaan kilang dijangka bermula pada suku pertama 2027,” tambahnya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjong Papat) dan Alias Sani (Sekong). Poon meminta penjelasan status pelaburan kilang kenderaan elektrik (EV) di Sandakan termasuk tarikh operasi dan potensi impak kepada ekonomi tempatan, manakala Alias bertanya tentang tarikh pembinaan kilang.
Phoong berkata, pelaburan ini dijangka membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan, sekaligus meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan kadar pengangguran.
Selain itu, pelaburan ini turut memperkukuh sektor hiliran dan membuka peluang kepada penyedia perkhidmatan kejuruteraan, logistik serta pembekal komponen automotif.
“Industri sokongan yang berkaitan juga akan mendapat manfaat, memperkukuh ekosistem automotif dan memperluas peluang ekonomi di peringkat tempatan,” katanya.
Phoong berkata, projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan berasaskan teknologi hijau dan lestari pada masa depan.
“Inisiatif ini juga memperkukuh imej Sabah sebagai destinasi pelaburan mampan dan mesra alam, sejajar aspirasi negeri untuk membangunkan industri berdaya saing dan lestari,” katanya.
Kementeriannya komited untuk memastikan pelaburan ini direalisasikan demi mempercepat pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

































