Peto Galim
KOTA KINABALU: Seluas 22,146 hektar kawasan sawah padi terbiar di enam daerah di Sabah sedang dibangunkan semula oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), kata Pembantu Menteri II Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Peto Galim.
Menurut beliau, kawasan sawah terbiar itu dikenal pasti sebagai kawasan yang tidak mempunyai sistem pengairan dan terletak di daerah Kota Marudu (3,132 hektar), Kota Belud (8,652 hektar), Tuaran (2,514 hektar), Tambunan (2,064 hektar) dan Keningau (3,514 hektar).
“Bagi memastikan kelancaran pembangunan dan pengurusan padi di enam daerah ini, Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Padi Daerah telah ditubuhkan di setiap lokasi yang dipengerusikan oleh Ahli Lembaga LPBS,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (Liawan) dan Jannie Lasimbang (Kapayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Anwar ingin tahu inisiatif Kerajaan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan, manakala Jannie bertanya sama ada Kerajaan masih komited melaksanakan Skim “Payment for Ecosystem Services” (PES) di kawasan Tadahan Air Babagon termasuk penubuhan Tabung Air dan pindaan perundangan berkaitan.
Mengenai usaha meningkatkan hasil pertanian tempatan, Peto berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian Sabah (DOA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pemberian subsidi, latihan teknologi pertanian dan kemudahan pemasaran.
Program pembangunan tanaman makanan yang dilaksanakan merangkumi padi, kelapa, kopi, buah-buahan, tanaman kontan dan sayur-sayuran.
“Antara bantuan yang diberikan termasuk subsidi pembajakan sawah, pembukaan kawasan pertanian, penyediaan bahan tanaman berkualiti, input pertanian, sistem pengairan, stor input pertanian, pusat pengumpulan hasil serta mesin pemprosesan huluan,” jelasnya.
Tambah beliau, latihan teknologi pertanian turut disediakan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan petani tempatan.
“Salah satu inisiatif penting adalah kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Inisiatif Digital AgTech yang memperkenalkan teknologi Internet of Things (IoT) untuk sistem fertigasi.
“Sehingga kini, sebanyak 1,343 kursus telah dilaksanakan dengan penyertaan 14,379 peserta, menghasilkan nilai jualan RM23.95 juta,” katanya.
Selain itu, Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product juga ditawarkan kepada pengusaha produk hiliran berasaskan tanaman makanan.
“Seramai 63 usahawan menerima geran berjumlah RM1.432 juta dalam tempoh 2021 hingga 2025 dengan nilai jualan mencecah RM15.18 juta,” katanya.
Program Agropreneur Muda pula membantu 86 belia berusia 18 hingga 43 tahun dalam pertanian dan pemprosesan makanan, termasuk projek fertigasi cili dan rock melon, sayuran hidroponik, pisang Sabah, betik, durian dan ternakan kelulut.
“Di bawah industri hiliran, produk berasaskan kelapa, kopi, ubi kayu dan tuhau telah menjana nilai jualan RM3.724 juta,” tambah beliau.
Program Agropelancongan juga diperkenalkan untuk menyokong pengusaha ladang sebagai tarikan pelancongan.
“Setakat ini, 19 pengusaha telah menerima geran RM3.5 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan nilai jualan sebanyak RM2.244 juta,” katanya.
Bagi memperluas pemasaran produk pertanian, Peto berkata, Kerajaan membangunkan aplikasi digital Hub Hasil Pertanian menggunakan konsep pemadanan perniagaan.
“Korporasi Pembangunan Desa (KPD) telah membina enam Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) di Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Lahad Datu, Kundasang dan Telupid untuk membantu petani luar bandar,” katanya.
Lima APCC baharu sedang dibangunkan di Nabawan, Tambunan, Tenom, Penampang (Moyog) dan Tuaran bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai petani.
Beliau turut memaklumkan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyediakan pelbagai insentif seperti Program Tanam Baru dan Tanam Semula Getah Secara Berkelompok kepada pekebun kecil.
“LIGS juga melaksanakan latihan berkaitan amalan pertanian baik, teknik pembajaan dan pengurusan kebun secara lestari,” katanya.
Kepada pertanyaan Jannie, Peto berkata, Kerajaan Negeri masih komited melaksanakan skim PES, khususnya di kawasan Tadahan Air Babagon yang dijadikan tapak perintis bagi membangunkan kerangka skim berkenaan mengikut kesesuaian dan penerimaan masyarakat setempat.
“Jabatan Pengairan dan Saliran kini dalam proses mewartakan kawasan Tadahan Air Babagon sebagai Kawasan Perlindungan Air dan Kawasan Pemeliharaan Air di bawah Enakmen Sumber Air Sabah 1998.
“Pelaksanaan skim PES hanya boleh dimulakan selepas pewartaan kawasan itu serta perundangan berkaitan Tabung Pemuliharaan Sumber Asli diluluskan,” katanya.


































