Flovia Ng
KOTA KINABALU: Lebih RM1 juta telah diperuntukkan bagi tujuan bantuan kebajikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong sepanjang tahun 2024, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng.
Beliau berkata, jumlah peruntukan sebanyak RM1,075,800 itu merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan Penjagaan OKU/Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT), dan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB).
“Bagi kategori BWE sahaja, seramai 78 orang penerima yang terdiri daripada 55 lelaki dan 23 wanita telah menerima bantuan di kawasan DUN Sekong,” katanya ketika menjawab soalan Alias Sani (Sekong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Alias meminta penjelasan berhubung jumlah warga emas yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di DUN Sekong bagi tahun 2024.
Flovia memaklumkan bahawa kadar bantuan bagi tahun 2025 adalah seperti berikut: BKK antara RM200 hingga RM1,000, BWE sebanyak RM600 sebulan, manakala kadar bagi bantuan OKU kekal tanpa perubahan.


































