Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) komited untuk membangunkan keseluruhan kawasan Parcel B seluas 3,280 hektar di Pulau Banggi bagi projek tanaman getah secara berfasa, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Beliau berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan menggunakan peruntukan sebanyak RM30 juta yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan untuk pengukuran kawasan. Manakala tahun ini, LIGS akan membangunkan 200 hektar ladang getah dengan kos RM2.5 juta melibatkan penyertaan 60 penduduk kampung setempat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohammad Mohamarin (Banggi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dr. Jeffrey berkata, bagi tahun 2026, LIGS merancang membuka lagi 400 hektar ladang getah dengan kos RM5 juta yang akan memberi manfaat kepada 130 penduduk kampung.
“Secara keseluruhan, pembangunan di Parcel B ini dijangka memberi manfaat langsung kepada 1,000 penduduk Pulau Banggi sebagai peserta penoreh dan menyumbang impak ekonomi sekurang-kurangnya RM40 juta setahun,” katanya.
Mengulas cadangan agar tanah tersebut dibubarkan pewartaannya dan diserahkan kepada penduduk, Dr. Jeffrey menjelaskan tiada keperluan untuk membubarkan pewartaan tanah kerana pembangunan yang dirancang diyakini mampu memacu sosioekonomi setempat.
“Fokus LIGS ketika ini adalah melaksanakan projek pembangunan yang akan menjadi pemangkin pembangunan menyeluruh Pulau Banggi,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tanah Parcel A yang diamanahkan kepada FELCRA akan dibangunkan mengikut perjanjian antara FELCRA dan Kerajaan Negeri.


































