Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Pendedahan dua pucuk surat rasmi yang mengandungi arahan bertulis daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kelulusan permohonan dokumen pengenalan diri telah mencetuskan desakan agar siasatan menyeluruh dijalankan, khususnya berkaitan kemungkinan campur tangan dalam sistem pendaftaran negara.
Ini merujuk kepada satu surat bertarikh 26 April 2019 menunjukkan arahan kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri & Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, agar satu permohonan diluluskan, manakala surat kedua bertarikh 9 Oktober 2019 pula mengandungi minit kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berbunyi: “sukacita dapat diluluskan.”
Pengerusi Majlis Belia KDCA, Steve Johnny Mositun menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak wajar dan menimbulkan persoalan mengenai tahap pengaruh politik negeri dalam urusan pendaftaran MyKAS, MyPR dan akhirnya MyKAD.
“Justin Wong boleh menyatakan bahawa Ketua Menteri tiada kuasa mutlak untuk meluluskan kewarganegaraan – kita tidak pertikaikan fakta itu. Tetapi persoalannya, mengapa seorang Ketua Menteri boleh meminit secara langsung supaya permohonan dokumen pengenalan diluluskan?” soal Steve dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa persepsi umum bahawa MyKAS hanyalah dokumen sementara tidak sepenuhnya tepat. Ini kerana pemegang MyKAS berpeluang memohon status pemastautin tetap (MyPR), dan seterusnya MyKAD, mengikut syarat serta tempoh yang ditetapkan.
“MyKAS sebenarnya merupakan titik permulaan kepada kewarganegaraan. Oleh itu, sebarang pengaruh luar – lebih-lebih lagi melalui arahan politik – dalam proses kelulusan MyKAS adalah amat membimbangkan,” katanya.
Steve menegaskan bahawa proses kelulusan dokumen pengenalan diri seharusnya kekal bebas daripada pengaruh politik serta campur tangan negeri demi menjamin integriti sistem pendaftaran negara.
Beliau turut menggesa JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mendedahkan secara telus jumlah permohonan MyKAS, MyPR dan MyKAD yang telah menerima sokongan bertulis daripada Shafie Apdal sepanjang beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dari tahun 2018 hingga 2020.
“Persoalannya adalah, sama ada semua permohonan yang disokong melalui minit rasmi itu telah melalui proses dokumentasi, tapisan keselamatan dan pematuhan undang-undang; apakah asas atau justifikasi bagi setiap arahan kelulusan tersebut; serta adakah tindakan itu melanggar Akta Pendaftaran Negara 1959 atau mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Steve turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka siasatan jika terdapat elemen penyalahgunaan kuasa atau ketirisan dalam sistem pentadbiran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Sabah masih belum melupakan kesan daripada Projek IC – iaitu pemberian kewarganegaraan secara tidak sah kepada warga asing pada era lampau – yang telah membawa implikasi jangka panjang kepada struktur sosial dan ekonomi negeri ini.
“Sabah pernah terbakar oleh kesilapan itu. Kita tidak mahu api lama dinyalakan semula melalui pintu belakang pentadbiran negeri. Soal kewarganegaraan bukan permainan politik – ini soal kedaulatan negara,” tegasnya.
Steve turut menekankan bahawa generasi muda Sabah berhak mengetahui kebenaran di sebalik minit rasmi yang tular itu, dan menggesa pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat.


































