WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersiap sedia untuk mengumumkan tarif baharu besar-besaran sempena ‘Hari Pembebasan’ pada Rabu, tetapi masih membiarkan dunia tertanya-tanya mengenai skop penuh langkah yang boleh mencetuskan perang perdagangan global itu.
Menurut Utusan Malaysia, Trump akan mengumumkan langkah-langkah itu diiringi anggota kabinetnya di Taman Mawar, Rumah Putih pada pukul 4.00 petang (waktu tempatan), dengan janji bahawa tarif tersebut akan menghentikan AS daripada terus ‘ditipu’ serta membawa era ‘keemasan baharu’ kepada industri negara.
Kelmarin, Trump berjanji untuk melaksanakan ‘Hari Pembebasan’ pada 2 April, di mana beliau akan memperkenalkan cukai balas ke atas amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh pentadbirannya.
Katanya, tarif itu akan dikenakan kepada semua negara, bukan hanya kepada negara yang mempunyai ketidakseimbangan perdagangan terbesar dengan AS.
Namun, Rumah Putih mengakui bahawa beliau masih menyempurnakan butiran akhir dengan kurang daripada 24 jam sebelum pengumuman dibuat.
Trump, seorang ahli perniagaan Republikan berusia 78 tahun, sememangnya terkenal dengan sokongannya terhadap tarif, meskipun pakar ekonomi berpendapat sebaliknya.
Pengkritik berpendapat, tarif ini bukan sahaja akan membebankan pengguna AS apabila kos import meningkat, tetapi juga boleh meningkatkan risiko kemelesetan ekonomi di peringkat domestik dan global.
Pasaran dunia telah mengalami ketidaktentuan sejak beberapa hari lalu menjelang pengumuman Trump, sementara negara-negara yang mungkin menjadi sasaran utama meminta rundingan walaupun mereka juga sedang bersiap sedia untuk bertindak balas.
Langkah ini juga mencerminkan jurang semakin luas antara AS di bawah Trump dengan sekutu rapatnya, bukan hanya dalam isu perdagangan tetapi juga dalam keselamatan, pertahanan dan banyak aspek lain.
Namun, dalam gaya politiknya yang sukar diduga, Trump masih merahsiakan perinciannya.
Beliau telah memberi bayangan mengenai tarif ini sejak beberapa minggu lalu, pada mulanya mencadangkan bahawa kadar cukai hanya akan setanding dengan apa yang dikenakan oleh negara lain terhadap AS.
Pada Isnin, beliau hanya berkata bahawa ia akan sangat baik tanpa memberikan maklumat lanjut.
Menjelang pengumumannya, media AS melaporkan bahawa Trump mempertimbangkan tarif menyeluruh sebanyak 20 peratus dan kemudian muncul spekulasi mengenai pilihan ketiga yang akan memberikan layanan istimewa kepada beberapa negara tertentu.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Trump bertemu dengan penasihat utamanya semalam sebelum membuat pengumuman bagi menyempurnakan perjanjian tersebut agar menjadi lebih baik.
Beliau turut mengesahkan bahawa tarif ini akan berkuat kuasa serta-merta selepas pengumuman dibuat, sekali gus menolak kemungkinan sebarang kelewatan untuk rundingan dengan negara lain.
Trump sebelum ini telah menarik balik beberapa rancangan tarifnya sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, terutamanya apabila berurusan dengan sekutu seperti Kanada dan Mexico.
Namun, rancangannya kali ini menimbulkan kebimbangan terhadap perang perdagangan global yang boleh menyebabkan kenaikan harga dan gangguan ekonomi besar-besaran.
Beberapa ekonomi utama seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada telah berjanji untuk membalas tindakan ini.
Vietnam pada Selasa mengumumkan pengurangan cukai terhadap beberapa barangan bagi meredakan ketegangan dengan AS.


































