Dr. Jelani Hamdan
KOTA KINABALU: Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) menggesa agar pertikaian mengenai pelaksanaan sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Haji Aman dihentikan serta-merta bagi mengelakkan sebarang pencemaran terhadap imej institusi TYT di negeri ini.
Presiden SAMORA, Dato’ Dr. Jelani Hamdan dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, kekeliruan yang timbul hanyalah berpunca daripada kesilapan dalam penggunaan istilah atau frasa oleh pihak tertentu yang melaporkan kenyataan berhubung sambutan tersebut.
“Kami dari SAMORA menegaskan bahawa pelaksanaan sambutan hari jadi rasmi TYT bagi tahun 2025 ini tidak melanggar Perlembagaan Negeri Sabah, mahupun mana-mana undang-undang dan peraturan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SAMORA turut menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor tidak melakukan sebarang kesalahan atau pembaziran dalam pelaksanaan sambutan ini.
Menurut Dr. Jelani, segala usaha telah dilakukan bagi memastikan perbelanjaan untuk acara tersebut dikawal dengan telus dan berhati-hati.

Dr. Romzi Ationg
Setiausaha Agung SAMORA, Prof. Madya Dr. Romzi Ationg yang juga seorang ahli akademik, turut menjelaskan bahawa jumlah program bagi sambutan tahun ini telah dikurangkan kepada tujuh sahaja berbanding 12 program pada tahun sebelumnya.
Beberapa program yang melibatkan kos tinggi seperti ‘big bike’ dan ‘pertandingan golf’ telah ditiadakan bagi memastikan penjimatan yang lebih berkesan. Sebaliknya, program yang lebih bermanfaat kepada rakyat seperti meraikan anak yatim, majlis keagamaan dan perbarisan tetap dikekalkan.
“Berdasarkan penelitian dan perbandingan yang dibuat oleh SAMORA, sambutan hari jadi TYT pada tahun-tahun sebelumnya jauh lebih banyak aktiviti dengan kos yang lebih tinggi. Sebagai contoh, pada tahun 2024, sebanyak 12 program atau aktiviti telah disenaraikan. Namun, bagi mengambil kira faktor penjimatan serta memastikan keberkesanan program, jumlah tersebut dikurangkan menjadi hanya tujuh program pada tahun ini,” jelas Dr. Romzi.
Menurutnya lagi, keputusan untuk mengecilkan skala sambutan ini dibuat dengan mengambil kira faktor kos dan keutamaan kepada aktiviti yang lebih bermanfaat kepada masyarakat.
“Aktiviti-aktiviti yang memerlukan perbelanjaan besar seperti konvoi motosikal berkuasa tinggi dan pertandingan golf telah dikeluarkan daripada senarai. Sebaliknya, aktiviti seperti meraikan anak yatim, majlis keagamaan serta perbarisan dikekalkan kerana ia membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat,” tambahnya.
SAMORA berharap kenyataan ini dapat merungkai segala kekeliruan dan menamatkan kritikan yang tidak berasas terhadap sambutan Hari Jadi Rasmi TYT.
“Kami menggesa semua pihak agar tidak lagi memperbesarkan isu ini kerana segala pelaksanaan dibuat berdasarkan keperluan dan kepentingan rakyat,” tegas Dr. Jelani.
Selain itu, SAMORA turut menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Tun Musa sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang ke-11. Dengan pengalaman luas beliau sebagai mantan Ketua Menteri Sabah dan seorang ahli korporat, SAMORA berkeyakinan bahawa Tun Musa amat layak untuk memegang jawatan tersebut.
“Kami percaya bahawa kepimpinan TYT Tun akan membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah. Oleh itu, kami berdiri teguh menyokong beliau dan berharap tiada lagi polemik yang timbul, sama ada mengenai pelantikan TYT Tun mahupun sambutan Hari Jadi Rasmi beliau,” katanya.


































