Marsya memberikan ucapannya dalam Majlis Perasmian Bahagian PBS Daraudi di Zenia Steamboat dan Grill, Sepanggar, pada Rabu (26 Feb).
KOTA KINABALU: Barisan kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah dengan perasmian kepimpinan baharu PBS Bahagian DUN Darau.
Majlis yang dihadiri oleh pemimpin utama parti serta ahli-ahli setia ini menandakan satu langkah strategik dalam memperkukuhkan parti di kawasan yang sering dianggap sebagai “hot seat” dalam arena politik negeri.
Pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam turut hadir bersama Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun yang juga Pengerusi Mesyuarat Bahagian DUN N17 Darau, Ketua Pergerakan Pemuda, Dr. Christoper Mandut, serta barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti.

Marsya (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan Dr. Joachim (lima dari kiri) dan ahli PBS yang hadir dalam majlis itu.
Dalam ucapannya, Ketua Bahagian PBS DUN Darau, Dato’ Seri Marsya @ Norhaizah Abu Bakar menegaskan komitmennya untuk membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi serta memastikan pembangunan mampan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
“Saya berjanji akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Kepercayaan yang diberikan kepada saya bukan satu keistimewaan peribadi, tetapi satu platform untuk membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat, khususnya di DUN Darau,” katanya.
Beliau juga menyeru semua ahli parti agar terus bersatu padu, mengeratkan perpaduan dan memperkukuhkan kedudukan PBS sebagai parti yang disegani di Sabah.
“Perjuangan ini bukan tentang saya, tetapi tentang kita semua! Tidak cukup sekadar bercakap, kita perlu bertindak. Jika bukan kita, siapa lagi? Jika bukan sekarang, bila lagi?” tegasnya dalam ucapannya yang disambut dengan sorakan semangat oleh hadirin.
Majlis itu juga menjadi platform untuk menyuntik semangat perjuangan kepada golongan muda agar mereka terus berusaha menjadi pemimpin berkualiti pada masa akan datang.
Dengan kehadiran kepimpinan tertinggi PBS dan sokongan padu daripada ahli parti serta masyarakat setempat, PBS DUN Darau kini bersedia untuk bergerak maju demi kemajuan Sabah dan kebajikan rakyatnya.


































