Dr Roland Chia Ming Shen
KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia Ming Shen meminta para pemohon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Persendirian Menengah, Sekolah Swasta dan Tadika yang memohon bantuan kewangan Kerajaan Negeri pada tahun ini agar mengemukakan borang permohonan sebelum tarikh tutup iaitu pada Mac 31, 2025.
Begitu juga kepada pertubuhan dan badan keagamaan bukan Islam iaitu gereja, tokong dan kuil.
Borang permohonan hendaklah dilengkapkan dan dihantar dengan kadar segera sebelum tarikh tutup, katanya dalam satu kenyataan.
Dr Chia berkata, permohonan Pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri ini telah dibuka pada awal bulan Januari 2025.
Katanya, borang permohonan boleh diambil dan dikembalikan di Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan, Tingkat 5, Blok C, Menara Kinabalu, Jalan Teluk Likas, Tanjung Lipat, Kota Kinabalu. Borang permohonan geran tersebut juga boleh diperolehi dan dimuat turun melalui web rasmi Kementerian Kewangan Negeri Sabah: www.mof.sabah.gov.my.
Beliau berkata peruntukan bantuan kewangan kepada badan beragama bukan Islam pada tahun ini adalah tertinggi dalam sejarah Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, iaitu sebanyak RM70 juta.
“Peruntukan ini telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun pada sidang Belanjawan Negeri 2025,” katanya, sambil berharap peruntukan ini dapat meringankan bebanan kewangan kepada sekolah dan badan berkenaan.
































