Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2024 dijangka mencecah enam peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.6 peratus Simpanan Syariah. – Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2024 dijangka mencecah enam peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.6 peratus Simpanan Syariah.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan itu diramal hasil pelaburan memberangsangkan oleh pengurus dana pencen berkenaan.
“KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024.
“Ia meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023. Bagi tahun berakhir 2024, saya berpandangan jumlahnya boleh mencecah RM63.48 bilion,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP memperoleh pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividennya melalui penjualan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dengan harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit.
Dalam pada itu, Pengarah Bersekutu Akademi Nourven, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pemberian dividen KWSP bagi 2024 akan lebih tinggi berbanding 2023 iaitu antara 5.7 hingga enam peratus.
Katanya, faktor itu didorong oleh urusniaga pelaburan yang strategik dan mengambil kira kepentingan pemegang taruh.
“Selama ini pelaburan KWSP tidak mempunyai masalah daripada segi pulangan dan ia diagihkan kepada pencarum dalam bentuk dividen setiap tahun,” katanya.
Beliau menjelaskan secara keseluruhan KWSP mempunyai pelaburan RM1.22 trillion dalam bentuk aset pada September tahun lalu.
































