Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Sebahagian pengguna di Kota Kinabalu dan Tuaran dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air apabila satu penutupan separa kecemasan dijadualkan akan dilakukan pada Selasa, 25 Februari 2025 bermula pada jam 8 pagi.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penutupan ini perlu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan segera dijalankan ke atas kerosakan lapan Injap Angin di sepanjang jajaran paip dari Loji Rawatan Air Telibong II dan juga
pembaikan satu Pam Air Terawat di Loji Rawatan Air Telibong II.
Katanya, sepanjang tempoh pembaikan, Loji Rawatan Air Telibong II akan beroperasi pada kapasiti terhad, menghasilkan hanya 75 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding kapasiti biasa sebanyak 96 JLH, iaitu pengurangan sebanyak 21% dalam pengeluaran air terawat.
“Oleh itu, pengguna di SK Nexilis, Kibing Solar, UMS, Hospital Likas, 1 Borneo, Kingfisher Sulaman, Ujana Kingfisher, Kingfisher Raja Udang, Kawasan Sulaman, Indah Permai, Kawasan Sepanggar, IKM, ILP, TLDM, SSM, UITM, Gayang (Tuaran), Nexus, Karambunai, Politeknik dan kawasan sekitarnya, dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan sementara bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air ini, tindakan mitigasi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dilaksanakan semasa gangguan tersebut.
Namun, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
“Pasukan teknikal yang dilantik akan
bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna.
“Apabila kerja-kerja pembaikan ini selesai dilaksanakan, kadar kemasukan air ke tangki utama dapat ditingkatkan dan isu gangguan bekalan air di kawasan hujung sistem bekalan air seperti Gayang, TLDM,
UMS, Hospital Likas, Kingfisher, Menara Kinabalu, Taman Cerah dan kawasan sekitarnya juga turut dapat dikurangkan,” katanya.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian Careline Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) atau melalui laman web dan media sosial rasmi JANS.


































