Nizam menerima cenderamata daripada Dr. Jamaluddin.
KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Nizam, yang juga merupakan ADUN Apas berkata, kunjungan tersebut membincangkan program Kampung Angkat MADANI oleh ESSCOM, yang akan memilih salah satu kampung di pesisir kawasan DUN Apas, Tawau.
“Daerah Tawau termasuk dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), dan pelbagai isu keselamatan turut dibincangkan, termasuk mendapatkan pandangan bagi memperkukuh kawalan keselamatan di ESSZone,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa Program Kampung Angkat MADANI, yang diperkenalkan oleh kerajaan, merupakan inisiatif Perdana Menteri menerusi Belanjawan 2024. Program ini bertujuan meningkatkan capaian kemudahan asas secara holistik menerusi pendekatan Whole of Government.
“Kewujudan Kampung Angkat MADANI ini bertujuan menoktahkan masalah kemiskinan serta memastikan kemudahan dan prasarana asas di kawasan desa dapat diperkasakan,” katanya selepas kunjungan hormat tersebut.
































