Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Sabah membangunkan pelancongan religius sebagai salah satu tarikan baharu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Beliau berkata, inisiatif ini dapat menyerlahkan lagi keunikan serta kemajmukan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, yang terkenal sebagai negeri dengan keharmonian, perpaduan, dan kebersamaan rakyat berbilang etnik dan agama.
“Kita boleh melihat keunikan Sabah, di mana masjid, gereja, kuil Hindu, dan kuil Buddha boleh wujud bersebelahan dengan penuh rasa hormat, seperti di Bukit Padang, Kota Kinabalu, serta beberapa daerah lain.
“Nilai ini boleh kita tonjolkan melalui pelancongan religius agar pelancong dari dalam dan luar negara memahami bagaimana rakyat Malaysia mengamalkan toleransi serta rasa hormat antara agama yang lahir daripada kepelbagaian kaum,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi Tampel di Lok Kawi kelmarin, sempena sambutan Thaipusam.
Ewon berkata, beliau akan mencadangkan kepada kepimpinan, khususnya di Kementerian Pelancongan, agar konsep ziarah atau “religious pilgrimage” di Sabah dibangunkan sebagai salah satu tarikan utama di negeri ini.
“Saya akan membawa cadangan ini untuk perhatian dan penelitian Kementerian Pelancongan, bagi melihat bagaimana ia boleh dimajukan serta dimasukkan dalam pakej Tahun Melawat Malaysia atau Tahun Melawat Sabah 2026,” katanya.
“Saya percaya konsep ini boleh dibangunkan di Sabah dan menjadi satu kekuatan baharu dalam industri pelancongan kita,” tambahnya.
Menurutnya, jika cadangan itu direalisasikan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sedia membantu dari segi sokongan pembiayaan melalui agensi-agensi berkaitan.
“Di peringkat kementerian, kami telah menyediakan beberapa program sokongan, antaranya program Jejak Koperasi. Jika pakej pelancongan atau destinasi pelancongan diuruskan oleh koperasi, dana sedia ada boleh disalurkan bagi menyokong usaha ini.
“Namun, dari segi pakej dan program pelancongan, saya percaya Kementerian Pelancongan boleh melihat lebih jauh bagaimana menarik pelancong dalam dan luar negara ke Sabah untuk ziarah religius. Ini bukan sekadar mempromosikan keindahan gunung dan pulau, tetapi juga keharmonian kaum dan agama di negeri ini sebagai satu daya tarikan,” jelasnya.
Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, tahun lalu beliau telah menyumbang sebanyak RM30,000 kepada kuil di Lok Kawi.
“Tahun ini, saya akan teruskan sumbangan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk memenuhi keperluan semua penganut agama di kawasan Parlimen Penampang.
“Saya juga telah membantu kuil ini mendapatkan dana sebanyak RM150,000 daripada Pejabat Perdana Menteri tahun lalu. Tahun ini, saya dimaklumkan mengenai beberapa keperluan lain, dan saya akan berusaha membantu mendapatkan dana yang diperlukan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pelancongan memperkukuhkan lagi konsep “religious pilgrimage” di Sabah.
“Saya melihat potensi besar dalam inisiatif ini untuk menjana pendapatan kepada Sabah, termasuk kepada pengusaha pelancongan seperti ejen pelancongan, penginapan, restoran, serta rumah-rumah ibadat yang menjadi destinasi lawatan.
“Sebagai contoh, Masjid Bandaraya sering menerima kunjungan pelancong yang datang untuk bergambar. Jika pelancong juga dibawa melawat rumah ibadat lain, ia dapat memperlihatkan nilai hormat dan toleransi antara penganut agama yang tinggal bersebelahan,” katanya.
Beliau turut menghargai masyarakat India dan penganut agama Hindu yang menyambut Thaipusam, sambil menekankan peranan penting mereka dalam pembangunan negara serta perpaduan dan keharmonian agama.
“Kita tidak boleh lupa bahawa pemimpin masyarakat India turut menandatangani Perjanjian Malaysia. Ini menunjukkan peranan besar mereka dalam negara ini, bersama-sama masyarakat etnik lain.
“Negara ini adalah milik kita bersama, dan kita mempunyai tanggungjawab serta peranan yang sama dalam membangunkannya. Ini bermula dengan sikap hormat-menghormati, toleransi, serta menjaga sensitiviti antara penganut agama agar kita dapat bekerjasama dengan lebih baik.
“Melalui kerjasama ini, kita boleh memberi fokus lebih besar kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur, dan keperluan sebenar negeri Sabah,” katanya.
































