JAKARTA: Polis Indonesia menahan 56 lelaki yang terlibat dalam pesta seks songsang di sebuah hotel di Jakarta Selatan, dengan tiga daripada mereka kini berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun atas dakwaan melanggar undang-undang pornografi.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap polis, Ade Ary Syam Indradi, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan pada Sabtu lalu, selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penganjuran pesta seks sejenis di hotel berkenaan.
“Tiga individu dinamakan sebagai suspek kerana disyaki menganjurkan pesta ini,” katanya dalam sidang media Isnin.
Meskipun homoseksual tidak dianggap jenayah di kebanyakan wilayah di Indonesia termasuk Jakarta, isu itu tetap dianggap sensitif dalam masyarakat negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Menurut Indradi, pesta seks itu dianjurkan atas dasar ‘keseronokan peribadi’ dan pihak berkuasa turut menemukan kondom serta ubat-ubatan HIV di lokasi kejadian.
“Tiga suspek utama kini berdepan dakwaan menyediakan perkhidmatan pornografi, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun jika didapati bersalah,” tambahnya.
Aktivis hak asasi manusia sebelum ini menyuarakan kebimbangan undang-undang antipornografi sering digunakan secara selektif untuk menyasarkan komuniti tertentu.
Pada tahun 2017, ratusan individu ditahan dalam serbuan sama di sebuah kelab, hotel dan spa, yang menurut Amnesty International sebagai bukti Indonesia semakin menunjukkan sikap tidak toleran terhadap komuniti gay.
Berdasarkan kajian oleh Pew Research Center pada tahun 2020, sebanyak 80 peratus rakyat Indonesia percaya homoseksual tidak boleh diterima oleh masyarakat.
































