Beberapa pelancong bersarapan di skybox hotel di tengah pencemaran udara yang tinggi di Bangkok, pada 20 Januari lepas.
BANGKOK: Jabatan Kesihatan Thailand merancang untuk menambah 20,000 restoran yang menyediakan bilik kalis habuk di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Thiti Sawaengtham berkata, pada masa ini 234 restoran di sembilan wilayah sudah mempunyai bilik kalis habuk.
Beliau berkata, jabatan itu berusaha untuk memperluaskan kemudahan tersebut bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan.
Pada peringkat awal, jabatan akan melatih pemilik lebih 50 restoran di Bangkok dan wilayah berdekatan mengenai cara menyediakan bilik kalis habuk sebagai perkhidmatan untuk pelanggan.
Latihan sama kemudiannya akan diperluaskan kepada pengusaha restoran di Phuket dan Chiang Mai, kata Thiti.
Kempen menggalakkan restoran menyediakan bilik kalis habuk merupakan sebahagian daripada inisiatif jabatan bagi mewujudkan ruang bebas habuk di tempat awam, susulan masalah pencemaran udara PM2.5 yang semakin membimbangkan di beberapa wilayah.
Beliau berkata, semua hospital daerah dan umum di Thailand kini dilengkapi kemudahan kalis habuk untuk pesakit.
Kini, pihaknya sedang menggerakkan kempen agar hospital komuniti turut menyediakan bilik khas berkenaan.
Selain itu, pihaknya turut melancarkan kempen menyeru pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah supaya menyediakan bilik kalis habuk demi melindungi kesihatan pelajar serta golongan rentan.
































