BRISBANE: Banjir besar yang melanda utara Queensland, Australia semakin memburuk apabila beberapa bahagian lebuh raya utama di Australia runtuh, sekali gus menjejaskan usaha menyelamat dan penghantaran bekalan kritikal.
Menurut Utusan Malaysia, hujan lebat yang turun tanpa henti sejak Sabtu lalu telah meragut sekurang-kurangnya satu nyawa dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Bandar seperti Townsville, Ingham dan Cardwell antara kawasan yang paling teruk terjejas.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang menerima taklimat berhubung usaha bantuan menyifatkan bencana ini sebagai satu ujian yang membuktikan semangat kebersamaan rakyat negara itu.
“Saya melihat rakyat Australia saling membantu dalam waktu sukar ini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial X, sambil menegaskan ancaman banjir akan terus berlanjutan di kawasan terjejas untuk beberapa hari lagi.
Antara kesan paling ketara akibat banjir ini adalah kerosakan pada Lebuhraya Bruce, laluan penting yang merentasi negeri sejauh 1,673 kilometer.
Menurut Persatuan Pengangkutan Queensland, runtuhan jambatan di laluan tersebut bakal melambatkan penghantaran bantuan dan bekalan penting ke kawasan terjejas.
Sementara itu, Ketua Menteri Queensland, David Crisafulli menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seorang wanita berusia 63 tahun dari Ingham yang maut ketika usaha menyelamat dilakukan pada Ahad.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan yang dikategorikan sebagai zon hitam banjir agar tidak pulang ke rumah kerana ancaman air masih tinggi, terutama di sekitar Sungai Ross yang melimpah akibat hujan lebat berterusan.
Menurut Biro Meteorologi Australia, dalam tempoh tiga hari sahaja, kawasan terjejas menerima jumlah hujan bersamaan enam bulan, menyebabkan sungai dan empangan melimpah.
Pihak berkuasa memberi amaran sebanyak 2,000 buah rumah berisiko ditenggelami air, termasuk sehingga ke tingkat dua bagi sesetengah kediaman.
Setakat ini, sekitar 400 orang sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Townsville, Ingham dan Cardwell.
Banjir kali ini dikatakan antara yang paling buruk dalam tempoh lebih 60 tahun, dengan pakar iklim memberi amaran perubahan suhu lautan dan pemanasan global berpotensi mencetuskan hujan ekstrem yang lebih kerap dan dahsyat di masa hadapan.
































