HOUSTON: Industri penerbangan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi digegarkan dengan insiden membimbangkan apabila sebuah pesawat milik United Airlines terbakar sebelum berlepas di Lapangan Terbang George Bush di Houston, Texas.
Menurut Utusan Malaysia, FOX 26 Houston melaporkan, pesawat penerbangan UA 1382 jenis Airbus A319 yang dijadualkan menuju ke Lapangan Terbang LaGuardia, New York, mengalami masalah enjin hingga menyebabkan kebakaran pada bahagian sayap pesawat sekitar pukul 8.35 pagi waktu tempatan.
Rakaman video yang diperoleh menunjukkan kepulan api di bahagian sayap pesawat, sementara seorang pramugari kedengaran meminta penumpang supaya tetap berada di tempat duduk masing-masing.
“Itu sayap pesawat terbakar!” jerit salah seorang penumpang dalam video berkenaan.
Susulan kejadian tersebut, pihak United Airlines bertindak membatalkan penerbangan dan mengarahkan proses pemindahan penumpang menggunakan tangga serta gelongsor kecemasan.
Jabatan Bomba Houston yang tiba di lokasi melaporkan mereka tidak sempat menggunakan peralatan pemadaman api kerana kebakaran sudah reda sewaktu mereka sampai.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, dan kesemua 104 penumpang serta lima anak kapal berjaya diselamatkan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan siasatan akan dijalankan berhubung insiden yang berlaku di lapangan tersebut.
































