TOKYO: Operasi menyelamat pemandu lori yang terperangkap dalam lubang benam di Yashio, Saitama, memasuki hari keempat hari ini, dengan keadaan tanah yang tidak stabil terus menyukarkan usaha pencarian.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian pada Selasa lalu menarik perhatian seluruh negara apabila lubang benam yang berlaku menyebabkan jalan raya runtuh dan lori mangsa terperangkap.
Pada awalnya, lubang benam berukuran kira-kira 10 meter lebar dan lima meter dalam, namun terus membesar sehingga dua kali ganda selepas bercantum dengan satu lagi runtuhan berdekatan.
Menurut pegawai Jabatan Bomba Yashio, Yoshifumi Hashiguchi, mangsa kali terakhir dapat dihubungi pada petang Selasa sebelum komunikasi terputus selepas lori yang dipandunya semakin tertimbus akibat runtuhan tanah dan serpihan jalan.
Keadaan tanah yang tidak stabil serta kewujudan ruang kosong di bawah permukaan menyukarkan operasi menyelamat, malah rakaman televisyen turut menunjukkan permukaan jalan terus merekah sebelum runtuh ke dalam lubang benam tersebut, sekali gus merobohkan papan iklan di sekitarnya.
Pasukan penyelamat sebelum ini cuba mengangkat lori mangsa menggunakan kren, namun hanya bahagian platform belakang berjaya dikeluarkan, manakala bahagian kabin yang dipercayai menempatkan pemandu masih tertimbus.
Selain itu, usaha mengalihkan tanah serta mengorek laluan ke arah mangsa juga tidak berjaya, malah pasukan penyelamat turut menerbangkan dron ke dalam lubang untuk menilai kemungkinan mereka dapat turun, namun setakat ini masih tiada kemajuan yang dicapai.
Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, pihak berkuasa meminta kira-kira 1.2 juta penduduk di kawasan tersebut untuk mengurangkan penggunaan air seperti mandi dan membasuh pakaian bagi mengelakkan kebocoran air kumbahan daripada memburukkan lagi keadaan di lokasi kejadian.
Susulan insiden itu, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh ke atas sistem pembetungan di seluruh negara bagi memastikan keselamatan infrastruktur.
Sebagai rekod, kebanyakan infrastruktur utama di Jepun dibina ketika era pertumbuhan pesat ekonomi pada tahun 1960-an dan 1970-an, manakala sistem pembetungan di Yashio ini telah berusia kira-kira 40 tahun.
































