Dua buah kereta rosak akibat terkena serpihan bumbung yang runtuh di luar kawasan kedai di Helensburgh, Scotland.
LONDON: Jabatan Meteorologi Britain melanjutkan amaran cuaca sehingga Selasa selepas negara itu dilanda kemusnahan terburuk dalam tempoh hampir tiga dekad akibat Ribut Eowyn.
Menurut Utusan Malaysia, ribut yang disifat paling kuat dalam tempoh lebih sedekad itu membadai Britain dengan tiupan angin kencang luar biasa melebihi 180 kilometer sejam, memusnahkan bumbung bangunan, menyebabkan puluhan pokok tumbang serta merosakkan kenderaan.
Lebih sejuta penduduk dilaporkan terpaksa bergelap selepas terputus bekalan elektrik sejak Jumaat lalu.
Sekitar 1,070 penerbangan turut dibatalkan, menjejaskan lebih 150,000 penumpang sejak semalam.
Gangguan perjalanan utama masih berterusan apabila serpihan seperti pokok tumbang, trampolin dan bumbung bangunan yang rosak menyekat laluan jalan raya dan landasan kereta api.
Kematian pertama akibat ribut itu direkodkan di Ireland apabila seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas pokok tumbang menghempap kereta dipandunya di Feddyglass di Raphoe.
Mesyuarat kecemasan Cobra turut diadakan oleh kerajaan bagi membincangkan operasi pemulihan di beberapa negeri terjejas.
Ramalan angin kencang, hujan lebat dan banjir turut dikeluarkan apabila Ribut Herminia pula dijangka mula mendarat di United Kingdom (UK) minggu ini.
Fenomena dipanggil bom siklon itu menjadikan ribut lebih berbahaya dan dikhuatiri menyebabkan kerosakan meluas, sama seperti bencana pada 1987 yang mengorbankan 18 orang di Britain.
































