Aedy Fadly Ramli
PUTRAJAYA: Lebih enam juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) anggaran nilai sebanyak RM806.9 juta masih tertunggak sejak 2010 hingga Oktober 2024, akibat kedegilan pemandu dan penunggang yang liat membayar kompaun.
Menurut Utusan Malaysia, saman itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat dan mengabaikan peraturan lalu lintas-punca utama peningkatan jumlah saman dikeluarkan.
Jumlah saman tertunggak tertinggi direkodkan pada tahun lalu sebanyak RM286,209,440 berbanding 2023 sebanyak RM203.38 juta, 2022 (RM86.88 juta), 2021 (RM29.98 juta) dan 2020 (RM8.86 juta).
Notis saman tersebut meliputi pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal, kereta, kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan.
Bagi tempoh berkenaan, JPJ telah mengeluarkan saman sebanyak lebih 26 juta membabitkan pelbagai kesalahan, dengan 15 juta saman telah diselesaikan dengan hasil kutipan lebih RM2.3 bilion.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan sekatan urus niaga iaitu tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan motor (roadtax) boleh dikenakan terhadap individu yang mempunyai tunggakan saman dan masih berdegil untuk menjelaskannya.
“Ia antara tindakan yang boleh diambil oleh JPJ kepada orang awam yang tidak menyelesaikan tunggakan-tunggakan saman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Aedy Fadly berkata, JPJ giat melakukan hebahan mengenai keperluan orang ramai yang mempunyai tunggakan untuk membayar saman.
Malah katanya, JPJ turut bercadang memasukkan elemen-elemen baharu dalam aplikasi MyJPJ bagi membolehkan orang ramai memperoleh notifikasi tentang pembayaran saman.
“Pada masa akan datang, kita akan cuba memperkenalkan elemen-elemen baharu di dalam MyJPJ yang boleh memberi notifikasi kepada orang awam berkaitan pembayaran saman, sekarang ini orang awam tidak menerima mesej tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat perlu memanfaatkan kompaun khas yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini.
Jelasnya, orang ramai boleh melakukan pembayaran saman dengan kadar khas sehingga Jun ini.
“Kita menawarkan kadar khas kompaun sebanyak RM150 kepada tiga kategori saman iaitu di bawah Seksyen 53A, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), saman di bawah Notis 114 dan saman di bawah Notis 115.
“Tiga kategori saman tu, orang awam perlu membayar sebanyak RM300. Jadi saya menyeru rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini kerana ia merupakan sekali sahaja ditawarkan, sebelum ini JPJ memang tidak akan beri pengurangan,” katanya.
Tambahnya, JPJ akan membawa kes kepada mahkamah sekiranya orang awam masih enggan membayar tunggakan saman mereka.


































