Para penerima sijil dan anugerah semasa Malam Kecemerlangan Kokum SJK (C) Yue Min Penampang merakamkan kenangan bersama tetamu kehormat (baris dua tiga dari kanan) Brenden Ling, James Annah Abbie, Victor Voo, Desmond Qwek, ahli-ahli PIBG, guru besar, penolong-penolong kanan serta barisan guru-guru sekolah.
PENAMPANG: Malam Kecemerlangan Kokurikulum SJK(C) Yue Min 2024 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Ruang Legar sekolah di sini baru-baru ini.
Majlis anjuran julung-julung kalinya itu dihadiri oleh lebih 450 tetamu yang terdiri daripada murid-murid, ibu bapa, guru-guru, dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
Majlis tersebut dianjur bagi meraikan pencapaian cemerlang murid-murid dalam pelbagai bidang kokurikulum sepanjang tahun 2024.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar SJK(C) Yue Min, Brenden Ling Sui Tiing yang menegaskan kepentingan sokongan padu daripada pelbagai pihak dalam mencorakkan kejayaan murid-murid di hari ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Lembaga Pengurusan Sekolah, pihak PIBG sekolah yang ditunjangi oleh Yang Di-Pertua; Victor Voo, guru-guru serta ibu bapa yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong setiap usaha anak-anak kita.
“Kejayaan malam ini membuktikan bahawa kolaborasi erat antara semua pihak adalah asas kepada kecemerlangan murid-murid sekolah,” ujar beliau.
Beliau turut menyampaikan penghargaan khas kepada penaja utama, JETAMA Water Sdn. Bhd. di atas sumbangan dan sokongan yang signifikan terhadap penganjuran majlis itu.
“Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah; Datuk Mansur diatas sokongan padu serta sumbangan yang diberikan dari Kementerian ini dalam memastikan program ini berjalan dengan selesa dan sukses.
“Tidak lupa juga kepada PIBG Sekolah selaku penganjur program ini serta ibu bapa yang merupakan pahlawan di sebalik tabir kejayaan anak-anak ini. Sokongan, pengorbanan, dan dorongan anda adalah sumber inspirasi kepada pihak sekolah dan murid-murid,” tambah Brenden Ling.
Di majlis tersebut, JETAMA diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar (Sumber Manusia); James Annah Abbie, manakala Kementerian Belia dan Sukan Sabah diwakili oleh Penolong Setiausaha (Pemantauan Sukan) Desmond Qwek.
Di majlis tersebut, seramai 165 orang murid diraikan dengan penyampaian sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan terhadap kejayaan mereka dalam pelbagai bidang seperti sukan, seni dan pertandingan akademik sepanjang tahun 2024.
Kemuncak untuk program tersebut ialah penyampaian Anugerah Kokurikulum Terbaik bagi kategori lelaki dan perempuan, yang menjadi simbol kecemerlangan murid dalam bidang kokurikulum.
Anugerah Kokurikulum Terbaik Lelaki disandang oleh Victor Lim Shang Teng, 12, seorang pelajar serba boleh yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan sukan. Kejayaan beliau merangkumi Ujian Bertulis Bahasa Cina, Penulisan Kreatif Bahasa Cina, Pertandingan Pengetahuan Am, Matematik, Sains, STEM (Sains, Teknologi, Engineering, Matematik), dan Yoyo Cina, serta pencapaian cemerlang dalam pertandingan badminton di peringkat daerah dan bahagian.
Anugerah Kokurikulum Terbaik Perempuan pula menjadi milik Stefanny Anne Sonny, 11, yang mencatatkan pencapaian luar biasa dalam bidang olahraga. Antara kejayaan beliau ialah Johan Relay 4x200m dalam South East ASEAN Under 18 Athletics Championship, tempat ke-6 Perseorangan Merentas Desa Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Johan Perseorangan Merentas Desa Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah (MSSS), Naib Johan Perseorangan Merentas Desa Peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD), dan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga MSSD Penampang. Pencapaian Stefanny di peringkat antarabangsa bukan sahaja mengharumkan nama sekolah tetapi juga mencerminkan semangat juang dan dedikasi luar biasa beliau dalam mengejar kejayaan.
Pesanan Inspirasi kepada Murid
Dalam ucapannya, Encik Brenden Ling turut menitipkan kata-kata semangat kepada murid-murid. “Tahniah atas kejayaan anda malam ini. Ingatlah, kejayaan ini bukanlah titik akhir, tetapi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. Jangan pernah takut untuk bermimpi besar, kerana setiap kejayaan bermula dengan impian yang diiringi usaha keras. Jadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk lebih berjaya,” pesannya.
Sokongan Padu Semua Pihak
Majlis ini tidak mungkin terlaksana tanpa kerjasama erat daripada Lembaga Pengurusan Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru, dan ibu bapa. Guru Besar menegaskan bahawa semangat kerjasama inilah yang memastikan murid-murid SJK(C) Yue Min terus mengukir nama di peringkat daerah, negeri, kebangsaan, dan antarabangsa.
“Kejayaan malam ini adalah milik kita bersama. Teruskan sokongan dan usaha untuk memastikan anak-anak kita menjadi generasi yang cemerlang dalam akademik, sahsiah, dan kokurikulum,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Pihak sekolah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran majlis ini. Tahniah kepada semua penerima sijil dan anugerah. Semoga kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada murid-murid lain untuk terus cemerlang pada masa hadapan.
SJK(C) Yue Min tetap komited dalam mendukung aspirasi melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.


































