Restoran McDonald’s di Tysons, Virginia.
LONDON : Lebih 700 bekas pekerja McDonald’s di United Kingdom mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat rangkaian makanan segera itu selepas pendedahan mengalami pelbagai bentuk gangguan secara meluas pada 2023, lapor firma guaman Leigh Day.
Menurut Utusan Malaysia, tuntutan itu melibatkan pekerja semasa dan bekas pekerja berusia bawah 20 tahun yang mendakwa menjadi mangsa gangguan ketika bekerja di lebih 450 cawangan McDonald’s di negara itu.
“Klien kami telah menceritakan pengalaman mereka berdepan diskriminasi, homofobia, rasisme, ableisme dan gangguan,” kata firma guaman itu dalam kenyataan akhbar.
Kes tercetus susulan siasatan Perbadanan Penyiaran British (BBC) pada Julai 2023 yang mendedahkan pelbagai testimoni mangsa.
McDonald’s, salah satu majikan terbesar di Britain dengan kira-kira 170,000 pekerja, termasuk golongan remaja, kini berada di bawah tekanan untuk menangani isu ini.
Jurucakap McDonald’s menyifatkan sebarang salah laku dan gangguan sebagai tidak boleh diterima dan menegaskan siasatan segera akan dilakukan terhadap setiap insiden.
Menurut kenyataan syarikat itu, sistem dalam talian telah diwujudkan bagi membolehkan pekerja melaporkan masalah secara sulit.
Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s UK dan Ireland, Alistair Macrow semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa Parlimen pada November 2023, beliau komited untuk menghapuskan sepenuhnya tingkah laku berkenaan.
Namun, kesatuan sekerja yang turut memberi keterangan kepada jawatankuasa itu menyatakan langkah tersebut tidak memberi impak ketara.
Sebelum ini, McDonald’s UK menghadapi dakwaan serupa pada 2019 apabila Kesatuan Bakeri, Makanan dan Pekerja Sekutu mendakwa terdapat lebih 1,000 pekerja wanita menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan.


































