ISLAMABAD: Jutawan terkenal, Elon Musk, mengesahkan syarikat Starlink telah memohon kebenaran untuk melancarkan perkhidmatan internet di Pakistan, namun masih menunggu kelulusan daripada kerajaan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, kenyataan Musk itu dibuat sebagai respon kepada ciapan seorang pengguna media sosial Pakistan yang menyatakan perkhidmatan internet Starlink mampu membawa Pakistan ke masa depan, di mana setiap rakyat mempunyai peluang untuk berhubung dan berkembang.
“Starlink boleh menjadi jambatan kita ke hari esok,” katanya, yang turut merayu kepada Musk untuk membawa perkhidmatan tersebut ke negaranya.
Dalam ciapan susulan, beliau mendakwa Pakistan telah ‘meluluskan Starlink’, sambil meminta Musk mempercepatkan pelancaran perkhidmatan itu di Pakistan.
“Ini masa terbaik untuk memperkenalkan perkhidmatan internet yang mengubah kehidupan kepada negara kami. Jutaan rakyat menanti peluang sambungan, pendidikan, dan kemudahan yang boleh ditawarkan oleh Starlink,” tambahnya.
Pengumuman Musk itu hadir di saat Pakistan berada di tangga teratas sebagai negara yang paling terkesan akibat gangguan internet pada tahun 2024.
Menurut laporan Top10VPN.com, sebuah penyedia ulasan bebas VPN, gangguan internet global sepanjang tahun lalu berlangsung selama 88,788 jam, menyebabkan kerugian kewangan sebanyak AS$7.69 bilion (RM34.73 bilion).
Pakistan dilaporkan mengalami kerugian paling besar, iaitu sebanyak AS$1.62 bilion (RM7.31 bilion), diikuti Myanmar dan Sudan.
Dengan potensi Starlink untuk menyediakan sambungan internet berkelajuan tinggi, langkah membawa teknologi itu ke Pakistan dijangka mampu mengurangkan kesan gangguan internet, serta membuka peluang baharu untuk pendidikan, perniagaan, dan pembangunan negara.


































