TOKYO: Pihak berkuasa Jepun mula memusnahkan kira-kira 50,000 ekor ayam di sebuah ladang ternakan di wilayah Iwate selepas mengesahkan kes wabak selesema burung di kawasan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pertanian Jepun memaklumkan tentang wabak selesema burung ke-19 yang dilaporkan sepanjang musim ini di negara itu.
Menurut kenyataan pihak berkuasa wilayah Iwate, langkah pemusnahan tersebut dilakukan selepas ladang berkenaan melaporkan peningkatan kematian ayam yang disahkan berpunca daripada virus selesema burung.
Selain itu, pergerakan 170,000 ekor ayam di dua ladang lain dalam radius 3 kilometer turut dilarang.
Sekitar 3.8 juta ayam di kawasan sejauh 10 kilometer turut diarahkan kekal berada di zon tersebut sehingga siasatan lanjut dijalankan.
Pada 2 Januari lalu, ladang lain di wilayah sama serta sebuah syarikat ternakan di wilayah Aichi turut disahkan dijangkiti virus itu.
Insiden itu memaksa pemusnahan masing-masing 120,000 dan 147,000 ekor ayam.
Sebelum itu, pada 29 Disember 2024, wabak selesema burung di ladang ternakan di wilayah Ibaraki turut mengakibatkan pemusnahan besar-besaran melibatkan 1.08 juta ternakan ayam.
Sehingga kini, sebanyak 1.67 burung dibunuh sepanjang musim ini akibat 15 wabak yang berlaku di 11 wilayah di seluruh Jepun, menurut Kementerian Pertanian Jepun.
Jepun kini memperketatkan langkah kawalan untuk mengelakkan penularan lebih meluas, dengan semua penternak diarah meningkatkan pengawasan terhadap ternakan masing-masing.


































