BRUSSELS: Belgium akan mengharamkan penjualan rokok elektronik pakai buang mulai 1 Januari ini atas alasan kesihatan dan alam sekitar, menjadikannya negara pertama Kesatuan Eropah (EU) mengambil langkah sedemikian.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan Belgium, Frank Vandenbroucke berkata, produk itu menjadi ancaman kesihatan kerana menarik golongan remaja kepada tabiat merokok dan ketagihan nikotin.
“Rokok elektronik pakai buang direka khas untuk menarik pengguna baharu dan ianya mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan. Nikotin berbahaya kepada kesihatan. Ini fakta,” katanya dalam satu wawancara.
Selain kesan kepada kesihatan, produk itu juga menimbulkan beban kepada alam sekitar kerana plastik, bateri dan litar di dalamnya mencetuskan pencemaran serta bahan kimia berbahaya melalui sisa yang dibuang pengguna.
Tambah Vandenbroucke, rokok elektronik boleh digunakan sebagai alat membantu perokok berhenti merokok jika digunakan dengan cara yang betul, namun versi pakai buang lebih banyak mendatangkan mudarat.
Sebelum ini, Australia telah mengharamkan penjualan rokok elektronik atau ‘vape’ di luar premis farmasi awal tahun ini dan kini, Belgium mengetuai usaha EU dengan menjadi negara pertama melaksanakan larangan tersebut.
“Kami menyeru Suruhanjaya Eropah untuk memperkenalkan inisiatif baharu bagi memperbaharui dan memodenkan undang-undang tembakau,” katanya.
Langkah itu turut mendapat sokongan daripada beberapa kedai menjual rokok elektronik, terutamanya berkaitan isu pencemaran alam sekitar.
“Apabila rokok habis digunakan, baterinya masih boleh berfungsi, tetapi tiada cara untuk mengecas semula. Ini menyebabkan pencemaran yang teruk,” kata Steven Pomeranc, pemilik kedai Vapotheque di Brussels.
Langkah Belgium ini dilihat sebagai permulaan ke arah usaha yang lebih besar bagi memperketat kawalan terhadap produk tembakau di peringkat antarabangsa.


































