BEIJING: China baru-baru ini meluluskan ujian klinikal vaksin Mpox yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal tempatan, Sinopharm.
Menurut Utusan Malaysia, langkah ini menambah senarai calon vaksin buatan tempatan yang sedang dalam proses pembangunan, menurut kenyataan syarikat itu.
Vaksin eksperimen tersebut dibangunkan bersama oleh Beijing Institute of Biological Products di bawah Sinopharm dan Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit Virus Nasional di bawah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (China CDC).
Setakat kini, China masih belum memiliki vaksin Mpox yang diluluskan untuk kegunaan umum.
Bagaimanapun, vaksin yang dibangunkan oleh Sinopharm ini telah terbukti selamat dan berkesan dalam penyelidikan pra-klinikal, dengan keupayaan merangsang perlindungan imun terhadap Mpox pada pelbagai model haiwan, termasuk primat bukan manusia.
“Vaksin ini dibangunkan sepenuhnya oleh saintis tempatan dan mempunyai hak harta intelek yang lengkap.
“Ia dijangka memainkan peranan penting dalam kawalan dan pencegahan Mpox di China,” menurut kenyataan Sinopharm.
Selain Sinopharm, subsidiari lain syarikat itu, Shanghai Institute of Biological Products, turut membangunkan calon vaksin Mpox yang telah mendapat kelulusan untuk menjalankan ujian klinikal pada September lalu.
Institut Mikrobiologi di bawah Akademi Sains China juga sedang membangunkan vaksin virus berkenaan berdasarkan teknologi mRNA baharu.
Mpox telah diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos tahun ini berikutan penyebarannya di Afrika, dengan majoriti kes dilaporkan di Congo, Burundi, dan Uganda.
Di negara tembok besar itu, kes pertama mpox domestik dilaporkan pada Jun 2023 dan dua bulan kemudian dan data terkini daripada China CDC menunjukkan negara itu mencatatkan 46 jangkitan mpox pada September, diikuti 38 kes pada Oktober.


































