SUVA: Tujuh warga asing, termasuk empat pelancong Australia dikejarkan ke hospital di Fiji selepas dipercayai mengalami keracunan alkohol akibat minuman koktel yang dihidangkan di sebuah bar resort lima bintang.
Menurut Utusan Malaysia, laporan media tempatan yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Fiji menyatakan, kesemua mangsa terdiri daripada pelancong Australia berusia antara 18 hingga 56 tahun, seorang warga Amerika Syarikat (AS) serta dua warga asing yang menetap di Fiji.
Difahamkan, kejadian berlaku pada Sabtu malam di bar Warwick Fiji Resort yang terletak di Coral Coast di mana mangsa mula menunjukkan simptom seperti loya, muntah dan gangguan neurologi selepas meminum koktel yang dihidangkan.
Mereka pada awalnya dirawat di Hospital Sigatoka sebelum dipindahkan ke Hospital Lautoka.
Seorang wanita Australia berusia 56 tahun dilaporkan berada di bawah pemantauan rapi, manakala seorang lagi wanita Australia berusia 19 tahun mengalami komplikasi perubatan serius, menurut Australian Broadcasting Corporation (ABC).
Dua lagi wanita Australia berusia 49 dan 18 tahun berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Seorang penduduk tempatan turut dipercayai dimasukkan ke hospital akibat kejadian sama, menurut laporan Radio New Zealand (RNZ).
Hotel Warwick Fiji dalam kenyataannya menyatakan mereka memandang serius insiden ini dan sedang menjalankan siasatan terperinci sambil menunggu laporan ujian daripada pihak berkuasa kesihatan.
Polis Fiji juga sedang menyiasat punca kejadian tersebut, manakala dua keluarga warga Australia di Fiji dilaporkan menerima bantuan konsular daripada Kementerian Luar Australia.
Insiden ini berlaku hanya beberapa minggu selepas kematian enam pelancong di Laos akibat keracunan methanol yang dikaitkan dengan minuman alkohol tercemar.


































