KOTA KINABALU: Sebanyak 15 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru Baru menerima sumbangan daripada Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada satu majlis yang diadakan di Balai Raya Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.
Kebakaran yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan tujuh buah rumah, menyebabkan kesusahan kepada 15 keluarga terlibat.
Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun. Bantuan yang disalurkan berupa wang tunai dan bakul makanan.
Azizah berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mangsa dan memberi semangat baharu kepada mereka.
“Biarpun sedikit, kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa kebakaran. Kami juga ingin memberi mereka semangat untuk terus bangkit membina kehidupan baharu,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat dan organisasi lain untuk terus memberi sokongan kepada mangsa kebakaran supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Marilah kita bersama-sama mengambil berat terhadap keluarga, jiran, dan kenalan kita dalam komuniti. Amalan membantu sesama insan yang menghadapi kesusahan bukan sahaja mendatangkan ganjaran pahala, tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah ADUN Petagas yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Shaari; Ketua Wanita SAPP, Noraiza Mohd. Noor Mansor; Ketua Zon 3 merangkap Penolong Bendahari, Datuk Surinam Sadikun; Setiausaha Wanita GRS Sabah, Salmah Sait; dan Datin Mary Wong, Bendahari Wanita GRS Sabah.
































