YOGYAKARTA: Polis Yogyakarta menahan dua individu, masing-masing berumur 77 tahun dan 44 tahun atas dakwaan terlibat dalam kegiatan penjualan bayi secara haram sejak tahun 2010.
Menurut Utusan Malaysia, kedua-dua suspek tersebut yang merupakan bidan ditangkap di Tegalrejo, Yogyakarta, pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Direktorat Siasatan Jenayah Am Polis Daerah Yogyakarta, FX Endriadi, salah seorang suspek tersebut merupakan pemilik rumah bersalin dan pekerja di premis tersebut.
“Berdasarkan buku rekod yang dirampas, mereka telah menjual sebanyak 66 bayi sepanjang 14 tahun. Modus operandi mereka adalah mencari pasangan yang berminat untuk mengambil bayi secara haram melalui rangkaian mereka,” katanya dalam sidang media.
Tambah Endriadi, kedua-dua suspek pernah dihukum penjara selama 10 bulan pada tahun 2020 atas kesalahan serupa.
“Dalam tempoh tiga bulan terakhir, mereka telah menjual dua bayi, masing-masing pada bulan September dan Disember. Bayi lelaki dijual di Bandung pada September, manakala bayi perempuan berusia satu bulan ditemui di Yogyakarta ketika serbuan dilakukan baru-baru ini,” tambahnya.
Pihak polis turut merampas beberapa barangan bukti termasuk borang berkaitan, wang tunai 100,000 rupiah (RM 27,81) dan sebuah telefon bimbit.
Kedua-dua suspek tersebut kini berdepan pertuduhan di bawah Pasal 83 dan Pasal 76F Undang-Undang Perlindungan Anak.
Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda maksimum 300 juta rupiah (RM 83,509).
Endriadi menegaskan, pihak polis akan terus menyiasat jaringan kegiatan haram ini bagi memastikan tiada lagi bayi menjadi mangsa jenayah keji tersebut.


































