Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi indikasi untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita akan lihat, kalau fikiran mereka baik, tidak melampau, kita akan pertimbangkan kerjasama ini. Apa yang penting bagi saya adalah perpaduan, sebab itulah saya mahu memastikan kebaikan untuk semua.
“Saya menjadi Ketua Menteri untuk memastikan perpaduan. Sebab itu, GRS ditubuhkan dengan lapan parti komponen, termasuk parti kecil yang mungkin tidak menang dalam PRN lalu. Namun, niat saya adalah untuk menyatukan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sempena Hari Natal di sini, kelmarin.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menambah bahawa beliau juga telah memaklumkan kedudukan kukuh GRS dalam menghadapi PRN akan datang kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Kami yakin GRS akan terus mendapat sokongan rakyat dalam PRN akan datang,” katanya.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru semua ahli parti untuk merapatkan barisan, mengukuhkan perpaduan, dan fokus kepada persiapan menghadapi PRN.
“Tempoh kerajaan ini akan berakhir pada Oktober. Ini bermakna kita boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum atau pada masa itu,” jelasnya.


































