Japlin bergambar kenangan bersama murid-murid SK Pituru, Kota Belud.
KOTA BELUD: Bidang sukan merupakan salah satu platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas dari segi fizikal dan mental, selain menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan kepimpinan mereka.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, latihan sukan yang konsisten dan seimbang mampu melibatkan pelbagai aspek seperti minda, fizikal, otot, saraf, dan emosi.
“Sukan bukan sahaja melahirkan murid yang cergas tetapi juga mendidik mereka untuk patuh pada aturan. Secara tidak langsung, sukan dapat membentuk atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai jati diri serta daya kepimpinan yang kukuh,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Pituru, di sini.
Beliau turut menegaskan bahawa kejohanan sukan bukan semata-mata untuk menentukan pemenang, tetapi juga berfungsi sebagai medium pendidikan tidak langsung kepada murid-murid dan atlet. Kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha gigih, ketekunan, perancangan rapi dan pengorbanan.
“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai tanpa perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga menjadi landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati, serta semangat kerjasama yang tinggi,” tambahnya.
Menurut Japlin, matlamat akhir kegiatan sukan adalah untuk membentuk masyarakat yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang.
Japlin juga menekankan peranan sukan dalam memupuk perpaduan antara kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.
“Perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak harus alpa akan pentingnya perpaduan dalam membina negara yang berjaya dan harmoni. Sukan adalah indikator terbaik ke arah itu,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar semangat kerjasama dan toleransi diterapkan dalam setiap aktiviti sukan.
“Semua ahli sukan perlu bersatu tanpa mengira warna kulit, bangsa atau agama untuk mencapai kejayaan bersama. Kegiatan sukan yang berterusan dapat menjadi benteng untuk menjauhkan murid daripada terlibat dalam aktiviti tidak sihat,” katanya.
Tambah Japlin, persiapan mental dan spiritual melalui sukan melatih atlet agar memiliki daya saing serta semangat untuk berusaha.
Menurutnya, bidang sukan adalah platform terbaik bagi melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental.

































