MALIBU: Kebakaran hutan yang bergerak pantas menghanguskan lebih 3,000 ekar tanah di Malibu, memaksa ribuan penduduk melarikan diri ketika api marak melanda rumah, ladang kuda dan Universiti Pepperdine.
Menurut Utusan Malaysia, Franklin Fire, satu lagi kebakaran hutan akhir tahun yang ditiup angin kencang Santa Ana, meninggalkan jejak kemusnahan besar apabila pegawai mengesahkan tujuh struktur musnah dan lapan lagi rosak teruk.
Bencana alam itu turut menyebabkan lebih 20,000 penduduk dipindahkan, termasuk selebriti terkenal seperti Dick Van Dyke dan Cher.
Datuk Bandar Malibu, Doug Stewart menyifatkannya sebagai ’20 jam paling traumatik’ untuk bandar itu, selepas operasi kecemasan dipindahkan ke Calabasas apabila dewan bandaraya turut diancam kebakaran.
Lebih 1,500 anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran dengan banyak jalan ditutup dan beberapa lokasi lain di bawah rondaan keselamatan.
Di Universiti Pepperdine, 3,000 pelajar berteduh ketika asap dan bara api menyelubungi kampus.
“Abu ada di mana-mana, bara ada di mana-mana,” kata seorang pelajar, Bethany Kronlund.
Punca kebakaran masih disiasat namun pakar meteorologi memberi amaran walaupun angin paling kuat sudah melepasi, bahaya itu masih kekal terutamanya di kawasan berbukit.


































