Selain kubis Brussels, kacang panggang dan brokoli juga makanan yang dilarang untuk angkasawan makan di ISS.- Gambar Hiasan
HOUSTON: Angkasawan dilarang untuk menikmati hidangan kubis Brussels di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) atas faktor keselamatan.
Menurut Utusan Malaysia, ketua angkasa lepas bimbang sayur tersebut, yang sering menjadi kegemaran dalam hidangan Krismas, boleh mencetuskan pengeluaran gas berlebihan.
Bukan sahaja bau busuk itu akan kekal dalam ruang kapsul yang sempit dan tertutup, tetapi pembuangan gas juga berisiko mencetuskan kebakaran dan letupan.
Pakar teknologi, Maddie Moate berkata, kubis Brussels cenderung menyebabkan kembung perut dan gas itu berbahaya untuk keadaan seperti di ISS yang tertutup kerana mudah terbakar.
“Angkasawan dilarang memakan kubis Brussels kerana gas yang dihasilkan boleh menimbulkan risiko letupan,” katanya.
Masalah penghasilan gas dalam perut sudah lama menjadi perhatian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).
Pada tahun 1960-an, para saintis menjalankan kajian mengenai bagaimana kentut yang dihasilkan daripada diet angkasa boleh menyebabkan pengumpulan gas seperti hidrogen, metana, nitrogen dan karbon dioksida.
Gas itu dihasilkan oleh bakteria dalam usus besar yang memecahkan makanan menjadi asid amino, glukosa dan asid lemak.
Sebagai hasil sampingan, angin perut dikeluarkan sehingga 40 kali sehari, menghasilkan kira-kira dua liter gas.
Kajian itu juga mendapati penghasilan gas adalah lebih tinggi dalam kalangan vegetarian kerana kandungan selulosa dalam sayuran yang sukar dihadam.
Oleh itu, angkasawan kini disediakan diet khas yang direka untuk mengurangkan masalah tersebut di mana selain kubis Brussels, makanan lain seperti kacang panggang, kubis dan brokoli juga dilarang atas sebab sama.


































