Produk susu segar Raw Farm dipamerkan di rak jualan di pasaraya Berkeley Bowl, di Berkeley, California.
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan perintah persekutuan yang mewajibkan bekalan susu negara diuji untuk selesema burung, menurut Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack.
Menurut Utusan Malaysia, langkah tersebut diambil ketika pihak berkuasa bergelut dengan penularan pantas virus itu dalam kalangan lembu tenusu.
Jabatan Pertanian AS (USDA) melaporkan, terdapat lebih 500 ladang tenusu di negeri pengeluar susu utama, California dan lebih 700 ladang di seluruh negara dijangkiti virus selesema burung sejak Mac lalu.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesan kepada petani, bekalan susu serta risiko kesihatan manusia.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, hampir 60 individu dijangkiti selesema burung sejak April, kebanyakannya pekerja di ladang ayam dan tenusu yang terjejas.
Bagaimanapun, gejala yang dialami adalah ringan dan pihak CDC memaklumkan risiko kepada orang awam masih rendah.
USDA mula mengumumkan rancangan untuk ujian selesema burung secara meluas pada Oktober lalu, selepas desakan daripada kumpulan industri dan veterinar.
Program tersebut akan dimulakan pada 16 Disember melibatkan pengambilan sampel bulanan atau mingguan daripada tangki susu dan pemproses tenusu.
California, Colorado, Michigan, Mississippi, Pennsylvania dan Oregon dipilih sebagai negeri perintis, dengan tiga negeri terakhir tidak melaporkan sebarang jangkitan selesema burung dalam lembu tenusu.
“Langkah ini memberi peluang kepada kami untuk mengesan virus baharu di kawasan tertentu atau negeri yang belum terjejas,” kata Vilsack.
Langkah ujian ini dijangka kekal berkuat kuasa tanpa had masa, sebagai usaha berterusan kerajaan AS untuk mengawal penularan selesema burung dan melindungi industri tenusu negara.


































